Tempana Kisi

Dalam penulisan. Tidak lama lagi untuk dicari penerbitnya.

Tentang Kapal di dalam Saksila Lekir

Rajah yang disertakan adalah mengenai rupa bentuk kapal yang digunakan oleh pelayar-pelayar Melayu pada kurun 15 hingga 17.

Kapal yang digunakan oleh pelayar Melayu di Nusantara.

Kapal yang digunakan oleh pelayar Melayu di Nusantara.

Lukisan asal telah dilukis semula dalam bentuk yang lebih kemas dan diberikan istilah pada bahagian-bahagian kapal.

Istilah bahagian kapal layar Melayu

Istilah bahagian kapal layar Melayu

Petikan dari Sulalatus Salatin – ms 103 ke 105

Dari Mana Hang Tuah Berasal

Maka sembah Seri Bija Pikrama, “Tuanku, yang kegemaran paduka adinda itu, jikalau ada budak laki-laki yang baik rupanya dan sikap serta dengan beraninya, itulah yang kegemaran paduka adinda.”

Maka titah raja di Goa, “Budak-budak bagaimana itu? Anak orang baikkah? Atau sebarang orangkah?”

Maka sembah Seri Bija Pikrama, “Jikalau boleh, anak orang baiklah, keraeng.”

Setelah baginda mendengar kata Seri Bija Pikrama itu, maka titah raja di Goa kepada juak-juaknya, “Pergi engkau semua carikan aku, anak daeng baik, anak hulubalang baik; barang yang baik rupanya dan sikapnya engkau ambil.”

Maka segala juak-juaknya pun pergilah mencari anak orang, daripada segala kampung dan dusun dicarinya tiada dapat olehnya. Maka didengarnya ada anak Raja Bajung yang terlalu baik rupanya dan sikapnya, bapanya sudah mati. Maka segala juak-juak itu pun pergilah ke Bajung. Setelah sampai, dilihatnya sungguh seperti khabar orang itu, laulu diambilnya, dibawanya kembali mengadap raja di Goa dipersembahkannya.

Maka oleh raja di Goa, ditunjukkannya pada utusan itu. Maka titah baginda, “Budak ini berkenankah saudaraku di Melaka, orang kaya?”

Maka dipandang oleh utusan kedua itu, terlalulah ia berkenan dengan gemarnya. Maka sembah Seri Bija Pikrama, “Demikianlah tuanku, yang dikehendaki paduka adinda.”

Maka titah baginda, “Jika demikian budak inilah Orang Kaya, aku kirimkan kepada saudaraku raja Melaka, ia ini anak raja Bajung, daripada tanda muafakat, serta dengan kasihku akan saudaraku raja Melaka, maka aku berikan.”

Maka sembah Seri Bija Pikrama, “Sebenarnyalah titah tuanku itu; yang titah paduka adinda pun demikian juga, tuanku.”

Adapun anak raja Bajung itu Daeng Mempawah namanya; umurnya baru dua belas tahun. Diceritakan orang yang empunya ceritera, sudah dua ia membunuh, mengembari orang mengamuk di negeri.

Setelah keesokan hari, maka utusan kedua itu pun naiklah mengadap raja Mengkasar, didapatinya raja di Goa telah pepak diadap orang. Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun duduk menyembah. Maka oleh raja di Goa utusan kedua itu itu dipersalini dengan sepertinya. Maka keduanya menyembah. Maka titah raja di Goa, “Katakan kepada saudaraku, Orang Kaya, akan Daeng Mempawah ini pertaruhku Orang Kaya kedua kepada saudaraku, raja Melaka. Perhamba ia baik-baik, dan kalau ada sesuatu yang dikehendaki oleh saudaraku, raja Melaka, dalam Mengkasar ini menyuruh ia kepada aku.” Maka sembah utusan keduan itu, “Baiklah tuanku.”

Setelah itu maka kedua utusan itu pun bermohonlah, lalu turun. Maka surat dan bingkisan pun diarak oranglah dengan selengkap alatnya, dengan segala bunyi-bunyian. Setelah datang ke perahu maka surat serta bingkisan itu disambut oranglah, disimpan. Maka segala yang menghantar itu pun kembalilah; maka Daeng Mempawah serta dengan Seri Bija Pikrama, maka kedua buahnya itupun berlayarlah kembali.*

Hatta berapa lamanya di jalan, maka sampailah ke Melaka. Maka dipersembahkan orang kepada Sultan Mansur Syah, mengatakan Seri Bija Pikrama telah datang. Maka baginda pun keluarlah, semayam diadap segala Orang Besar-besar dan hulubalang sida-sida, bentara, biduanda, hamba raja sekalian. Maka surat itu disuruh baginda sambut dengan istiadatnya. Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun bersama-sama baginda, serta membawa Daeng Mempawah.

Setelah sampai ke balai, maka surat disambut bentara dipersembahkan ke bawah duli baginda; maka disuruh baca kepad khatib. Setelah sudah dibaca, maka Sultan Mansur Syah pun terlalu sukacita mendengar bunyi surat raja Mengkasar itu. Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun naik menjunjung duli, lalu mengadap kepada tempatnya sedia itu; maka Daeng Mempawah pun dipersembahkan ke bawah duli dengan segala pesan raja Mengkasar itu semuanya dipindahkannya.

Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu suka, serta berkenan baginda memandang rupa dan sikapnya Daeng Mempawah itu. Maka titah baginda, “Bagaimana maka raja Mengkasar berkirimkan anak raja Bajung ini? Dilanggarkah raja Bajung maka anaknya tertawan ini?”

Maka sembah Seri Bija Pikrama, “Tidak tuanku, raja Mengkasar bertanya kepada patik akan kegemaran duli tuanku, maka patik katakan gemar akan budak yang baik rupa.” Maka semuanya perihal ehwalnya habis dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mansur Syah. Maka baginda pun suka, serta Seri Bija Pikrama dipuji baginda. Maka Daeng Mempawah itu dinamai baginda Hang Tuah, itulah asal Hang Tuah; maka dipeliharakan oleh baginda dengan sepertinya, terlalu kasih baginda akan Hang Tuah, maka dianugerahi akan sebilah keris tempa Melaka dengan selengkap perhiasannya.

Adapun Hang Tuah selama ia di Melaka, tiada lain kerjanya, hanya berguru akan ilmu hulubalang. Barang siapa yang lebih tahunya dimasukinya; adalah kepada zaman itu tiadalah dua orang-orang muda sebagainya.

Adapun “Perhangan” ke bawah duli Sultan Mansur Syah yang setelah sudah pilihan delapan orang, iaitu Hang Jebat, dan Hang Kasturi, dan Hang Lekir, dan Hang Lekiu, dan Hang Ali dan Hang Iskandar, dan Hang Hassan, dan Hang Hussin; dan tua-tuanya Tun Bija Sura, menjadi sembilan dengan Hang Tuah. Sekaliannya berkasih-kasihan, muafakat, sama berilmu, tetapi kepada barang main tewas semuanya oleh Hang Tuah. Demikianlah diceriterakan oleh yang empunya ceritera.

*Catatan kaki dari Naskhah Sulalatus Salatin yang disusun oleh A Samad Ahmad.

NASKHAH A DAN NASKHAH B SERUPA SAJA BUNYI KATA-KATA AYATNYA. TATKALA HENDAK MENYEMAK AYAT YANG MERAGUKAN INI PADA NASKHAH C, TERDAPAT BEBERAPA HELAI, KHUSUSNYA DARI MANA HANG TUAH BERASAL, TELAH HILANG, MUNGKIN TELAH DICABUT ORANG.

Saksila Lekir – Naskahnya

Masih lagi boleh didapati melalui pautan berikut:-

www.dawama.com/index.php?ch=20&pg=135&ac=4905&tpt_id=11

Saksila Lekir – Latar Belakang

Ada sesuatu di dalam penceritaan orang tua-tua yang tidak harus diperkecilkan dan tidak patut diketepikan. Begitu jugalah dengan cerita tentang sebilah keris yang telah didengari pada akhir tahun 1973. Keris yang diceritakan itu bernama Saksila Lekir. Di samping itu cerita tentang dua bilah keris lain turut didengari. Satu sebagaimana yang kita ketahui, yaitu, Taming Sari, dan satu lagi ialah sebilah keris yang teramat istimewa, yang dikenali sebagai Toh Putih.

Pada umur 13 tahun, cerita itu cuma cerita-cerita biasa sahaja. Tidak lebih daripada satu perjalanan pencarian sebagaimana ketika hendak menulis novel Saksila Lekir. Kisahnya amat berbeza daripada mainstream kisah yang ada dalam cetakan dan terbitan, menyebabkan cerita yang telah didengar tidak mendapat apa-apa perhatian daripada benak yang mengandungkannya. Namun sedikit demi sedikit cerita itu bangkit ke permukaan, dan akhirnya tertulislah ia sebagai novel, jika tidak sebagai satu kisah daripada sejarah masa silam nusantara ini.

Titik permulaannya ialah tahun 1978. Peluang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom, telah memberi kesempatan untuk mengunjungi British Museum. Di situ terdapat koleksi keris yang agak besar juga jumlahnya. Di dalam satu bekas kaca, terasing daripada keris-keris lain ialah sebilah keris; putih hulu dan bilah matanya. Satu persoalan timbul, apakah itu Toh Putih? Jika benar, apakah benar cerita Orang Tua itu? Haruskah ditanya kepada pihak Muzium, bagaimanakah kiranya keris itu diperolehi? Kenapakah ia terasing daripada keris-keris yang lain? Apakah keistimewaannya? Namun, soalan hanya tinggal soalan. Dalam umur yang muda, banyak lagi perkara-perkara lain yang lebih penting yang harus difikirkan.

Namun, kisah yang diceritakan oleh Orang Tua itu sedikit demi sedikit menghambat diri dan memaksa untuk didalami. Bagaimanakah kiranya Orang Tua itu tahu yang ribut-ribut besar, hanya menghala dari Timur ke Barat? Bagaimana juga beliau tahu yang ribut-ribut seperti itu melambatkan pusingan dunia? Apakah makna sesaat dua ataupun pecahan saat kepadanya? Bagaimana pula waktu boleh diukur sebegitu tepat, jika hanya dalam abad ini (keduapuluhan) manusia berhasil untuk mengukurnya. Hal-hal seperti itu hanya dipelajari dalam tahun dua jurusan sarjana muda Applied Physics yang dituntut. Kalau begitu, Orang Tua itu lebih saintis dari seorang yang sedang cuba untuk belajar mengenai fiziks. Juga kalau begitu, orang-orang dahulu sudah tentu lebih berilmu dan lebih mengetahui daripada apa yang menjadi tanggapan umum.

Titik kedua pula berlaku dalam tahun 1988, di benua Australia. Dalam mencari bahan bacaan untuk mengurangkan rasa rindu kepada isteri dan kampung; pencarian telah menemukan kepada satu journal yang ditulis sewaktu benua Australia baru dijajah oleh orang-orang Inggeris. Journal itu adalah satu catatan seorang pegawai tentera laut Inggeris yang telah diarahkan untuk memetakan dan membuat carta perairan di sekeliling benua Australia. Di dalam pelayaran beliau ke utara Australia, beliau telah bertemu dengan orang-orang Bugis yang datang mencari trepang. Ditulis di dalam journalnya akan kehairanannya, kerana kapal-kapal Bugis tidak mempunyai kompas ataupun carta. Nama pelayar Bugis yang ditemuinya ialah Pobasan, anak buah Raja Bone. Apabila ditanya, bagaimana dia boleh berada di situ, jawapannya mudah saja; dikatakannya angin. Kemudian dinyatakan pula yang mereka akan belayar ke selatan Cina, membawa muatan trepang itu.

Orang Tua itu telah memperkatakan tentang angin, ilmu yang menjadi tuntutan orang-orang Bugis, yang membolehkan mereka belayar ke mana saja; menjadi pilot bagi kapal-kapal Portugis dan juga Belanda. Ada yang mengatakan mereka juga turut berkhidmat untuk kapal Sepanyol. Ada hikayat, yang telah menceritakan seorang Panglima berketurunan Bugis yang menjadi orang yang pertama mengelilingi dunia, setelah menjadi pilot kapal Ferdinand Magellan. Jika begitulah, kepandaian dan ilmu orang-orang Bugis tentang laut dan pelayaran, maka tentulah mereka orang yang paling layak bergelar `Nahkoda’ ataupun `Laksamana’.

Namun kedua-dua titik waktu di atas, tidak berhasil menggerakkan untuk menulis novel Saksila Lekir. Yang menjadi dorongan yang kuat untuk menulisnya apabila ada makalah yang membuat selaran dan anggapan yang Hang Tuah itu cuma seorang samseng oleh seorang ahli akademik tanah air ini. Pada asalnya keinginannya cuma untuk menulis sebuah rencana. Entah apa yang telah memujuk diri ini untuk membeli senaskah SULALATUS SALATIN (terbitan DBP, yang telah diselenggarakan oleh A Samad Ahmad – cetakan keempat 1986). Di dalam naskah itu, segala kisah hasil penceritaan Orang Tua itu kembali bertapak dengan pasti. Pada mukasurat 103 – 105, ada dinyatakan tentang seorang anak muda, putera Raja Bajung, yang bernama Daeng Mempawah, yang telah dipersembahkan oleh Raja Gowa kepada Raja Melaka. Cuma satu masalahnya, Orang Tua itu bercerita setakat mana Saksila Lekir kembali menjadi ketulan-ketulan besi semula.

Apakah kisah-kisah itu benar, atau hanya disisip oleh periwayat yang berketurunan Bugis? Bagaimana pula Orang Tua yang ditemui pada tahun 1973 sudah mengetahui tentang Daeng Mempawah? Pulak itu, sudah diceritakan beliau tentang Daeng Megiri, ayah kepada Daeng Mempawah. Apakah kalau begitu, menurut SULALATUS SALATIN dan menurut Orang Tua itu, apabila digabungkan kedua-dua kisah, boleh kita menganggap yang Hang Tuah itu mempunyai nama? Apakah benar, namanya ialah Daeng Mempawah anak kepada Daeng Megiri? Jika begitu, jauh sekalilah daripada Hang Tuah itu diperkatakan sebagai seorang samseng!

Persoalan-persoalan seperti itulah yang menjadi dorongan dan hambatan untuk menulis Saksila Lekir. Namun ada juga persoalan-persoalan yang mematikan langkah untuk menulis novel itu di peringkat awalnya. Bagaimanakah seseorang itu berkembar dengan makhluk yang bukan manusia? Bagaimana boleh terjadinya jelmaan? Apakah benar wujudnya Kerajaan Bajung, Kerajaan Makati dan Kerajaan Panjar? Di manakah Sungai Berendu dan Tasik Lompo? Siapakah dia Jegak Kiran, Jegak Bistu dan Pandak Sela? Tanpa mengetahui asal-usulnya melalui sejarah yang bertulis, dan tanpa mempunyai jawapan yang konkrit, bagi seorang yang berpendidikan sains, ianya amat mengecewakan. Namun sebagaimana penulis lain ketahui dan alami, ada sesuatu yang tak dapat dimengertikan, yang mengarah dan mendorong hingga tertulislah novel Saksila Lekir itu sebagai satu naskah yang lengkap.

Menjejaki Tempana Kisi – Guru-guru Mas Mardukaputra

GUNANG ADIPATI RAKUH – Guru Mas Mardukaputra yang mengajar ilmu-ilmu persilatan, perihal raga dan jiwa serta ilmu membenteng diri. Juga mengajarnya ilmu-ilmu kebatinan dan ghaib.

GUNANG ADIPATI PUTIH – Guru Mas Seri Sakti yang dicadangkan oleh Adipati Rakuh, apabila Mas Seri Sakti menyatakan keinginannya untuk mempelajari ilmu menempa keris dan ilmu memujuk besi. Adipati Putih merasakan Mas Seri Sakti lebih hebat dari diri beliau dan juga beliau terlalu merendah diri, merasakan yang beliau tidak pandai atau mahir untuk membuat keris. Lalu diperintahnya supaya Mas Seri Sakti mencuri keris Kerajaan Majapahit yang telah ditempa oleh Empu Gandring. Kata Adipati Putih, nanti akan ada seseorang yang akan menjejaki keris Majapahit itu, dan belajarlah daripadanya. Begitulah kisah bagaimana Mas Mardukaputra belajar untuk membuat keris.

Menjejaki Tempana Kisi – Tempaannya

Satu-satunya keris yang bernama demikian. Tiada dua atau tiga atau pasangannya. Ditempa seperti berikut:-

BESI (Jenisnya):

1. Besi Sunda – dari mata lembing pahlawan Sunda yang bernama Tempana Kisi
2. Besi Keris Lok Segur – bilah keris Parameswara yang patah ketika bertarung dengan Mas Seri Sakti
3. Besi Gunung Lawu
4. Besi Gunung Magelang
5. Besi Gunung Grogol
6. Besi Gunung Sukuh
7. Besi Panateram
8. Besi gelang pasung Meantaro
9. Besi Keris Ritukala Rahasya – keris milik Gunang Adipati Putih
10. Besi Keris Kai Sikandar – keris milik Gunang Adipati Rakuh
11. Besi pemberian Empu Sagatika
12. Besi pemberian Empu Sardewa
13. Besi serpihan mata kapak yang digunakan untuk menakik Golkali
14. Besi putih
15. Besi kuning
16. Besi keris Pitrang – hadiah dari Pitrang kerana menjaga dapur ketika menempa keris
17. Besi Keris Sumelang Gandring – serpihan besi dari mata keris
18. Besi Keris Puaka Panglong – keris yang dirampas oleh Mas Seri Sakti dari orang yang mengamuk
19. Besi Keris Baga (atau Boga) Kediri – keris Kerajaan Kediri
20. Besi Keris Abaya – serpihan dari mata keris Raja Kediri, Jayabaya
21. Besi matabukit – serpihan besi dari lahar gunung berapi

EMAS (Jenisnya):

1. Emas mata Hanuman
2. Emas cangkir Bulan Bali
3. Emas pangkin Keris Ritukala Rahasya

Buat Pembaca Blog Ini – Pengenalan Kepada Watak-watak Utama

Dalam kehidupannya, Yang Muda atau Daeng Mempawah atau Hang Tuah (menurut cerita orang tua-tua Bugis) mempunyai tiga bilah keris istimewa. Semuanya menurut peringkat umurnya. Yang pertama sudah ditulis di dalam novel SAKSILA LEKIR (DBP 1995) adalah pada masa peralihan dari seorang kanak-kanak ke remaja. Pada masa umur di antara remaja kepada dewasa, keris yang dimilikinya ialah sebilah keris yang bernama TEMPANA KISI, dan pada peringkat umurnya dari dewasa ke pertengahan usia tua, keris yang menjadi miliknya ialah keris yang bernama TOH PUTIH.

Saksila Lekir – Empunya Daeng Perani dan Si Lawi-Lawi
Tempana Kisi – Empunya Mas Mardukaputra
Toh Putih – Empunya Pandak Sela

Guru-gurunya terdiri daripada Patih Alurani Jegak Kiran dan Patih Alurani Jegak Bistu. Manakala guru kepada kedua-dua adik-beradik Jegak itu ialah Mas Mardukaputra ataupun Mas Seri Sakti. Guru-guru kepada Mas Seri Sakti itu pula ialah Gunang Adipati Rakuh dan Gunang Adipati Putih. Khabarnya, Hang Tuah pernah pergi berguru kepada Mas Seri Sakti. Tetapi itu cerita lain.

Untuk pengetahuan yang lebih lanjut mengenai apa yang tertulis di dalam blog ini, harapnya dapat membaca novel Saksila Lekir terlebih dahulu.

Menjejaki Tempana Kisi – Hasil Wangsit Mas Mardukaputra dengan Sarjana Agung Sunda

Sebelum ia mempunyai nama Taming Sari, ia sudah dinamakan oleh empunya dengan nama Tempana Kisi. Sebilah keris hasil wangsit yang diilhamkan oleh seorang panglima Sunda yang telah berzaman ditelan bumi setelah tenggelamnya kerajaan purba Sunda ke dalam lautan. Besi keris ini diperbuat dari mata lembing milik Tempana Kisi sebagai ibu bilah, tetapi dicampurkan dengan duapuluh logam yang antaranya emas.

Keris ini dari catatan pencarian dan penyelidikan adalah seperti:

Dari mukasurat buku catatan Moleskine

Dari mukasurat buku catatan Moleskine

Pamornya adalah kulit Semangka yang mempunyai modifikasi Kelengan dan Was Wutah. Namun pamor isinya menjadi lurus selurusnya apabila ia membunuh – yaitu pamor Adeg untuk menyalurkan bisa-bisanya. Tetapi terputus-putus apabila mempertahankan pemiliknya dari terbunuh ketika bertarung. Ia dari zaman atau tangguh Mataram Senopaten.

WANGSIT – Definasinya ialah penerimaan sesuatu yang baru dari semangat yang lama, melalui alam yang tidak nyata. Melintasi usia dan raga kasar.

Catatan I – Novel Tempana Kisi

MEREKA, penghuni-penghuni Lembah Meantaro memanggilnya Golkali. Sebatang pohon ara yang telah berubah bentuk menjadi satu pepohonan gergasi yang amat menakutkan. Dan tatkala Mas Mardukaputra berdiri dengan sebilah kapak mengadap pepohonan itu, di luar pengetahuannya, Golkali telah berupaya untuk membunuh sesiapa saja yang menyentuhnya.

Mas Mardukaputra tercengang. Demi pepohonan itu dan demi keinginan penduduk lembah itu, dia telah disambut dengan begitu meriah, dijamu dengan pelbagai aneka makanan yang enak-enak, kemudiannya dikhayalkan dan apabila dia sudah terlalu mabuk untuk melawan dia ditangkap dan dipasung. Dan dalam pasungannya dia telah dipaksa untuk menebang Golkali.

Sungguh dia tidak menyangkakan segala-galanya itu akan berlaku. Namun, itu adalah kelemahannya, walaupun berbekalkan segala ilmu kependekaran, dia tidak pernah berlawan dengan sesiapapun, termasuklah gurunya sendiri. Tanpa keinginan untuk mempertahankan dirinya, dia merelakan perbuatan penghuni lembah itu. Semakin tercengang dia merenung Golkali, apakah berbekalkan sebilah kapak ini dia mampu untuk menumbangkannya.

“Engkau, Mardukaputra, apa hanya ingin merasakan dirimu begitu sakti hinggakan orang-orang memanggilmu Mas Seri Sakti? Di manakah perasaan kepahlawanan kamu?” Kata-kata gurunya, Gunang Adipati Rakuh, mendebarkan hatinya. “Di mana semangat kamu untuk membela orang-orang yang teraniaya?”

“Tolonglah kami,” rayu Palam, penghulu lembah itu, dengan lembut dan penuh harapan. “Kelak tuan hamba akan tahu betapa kami menghargai jasa tuan itu.”

Melihatkan Mardukaputra tercengang memandangnya, Palam menambah lagi, “Segala usaha telah kami lakukan, namun kami masih gagal walaupun sekadar untuk menakik batangnya. Mungkin itulah yang tuan boleh lakukan untuk kami. Takikkan saja batangnya, kami akan laksanakan urusan untuk menumbangkannya. Pada pandangan kami, hanya orang luar saperti tuan hamba yang mampu melakukannya. Lagipun pada pandangan kami, tuan hamba yang berkelana dan merantau tentunya bukan calang-calang orang. Jika dibandingkan dengan kami ini ….”

Mardukaputra memandang ke sekelilingnya. Dilihatnya wajah-wajah mereka yang berada bersama-sama hidangan yang disediakan untuknya. Kesemua sedang merenungnya. Hanya muka Palam yang kelihatan masih bersemangat. Kilat berminyak diterangi cahaya pelita, mukanya tampak kecil walaupun luas dahinya. Dan dia mempunyai sepasang mata yang besar dan bulat. Cuping telinganya pun besar. Hanya hidung dan mulutnya sahaja yang kecil. Dengan begitu rupanya seakan-akan ada sesuatu yang tak kena dengan dirinya, yang mula merisaui Mardukaputra. Terasa yang dia sedang berhadapan dengan seorang yang berkebolehan, dan juga seorang yang bermuslihat pada waktu yang sama.

“Maafkan hamba, bapak-bapak sekelian. Hamba ini tiada kepandaiannya. Tiada juga kebijaksanaannya. Lebih-lebih lagi apabila bapak-bapak semua telah mencubanya. Tiada pada hamba akan senjata ataupun ilmu untuk menumbangkan pokok itu, jika seperti yang bapak-bapak ceritakan, berpuaka dan berpenunggu,” bersuara Mardukaputra. Menyusun kata-katanya dengan halus, agar tidak menyinggung perasaan mereka yang sedang melayannya.

Dia sedar akan kehendak penghuni-penghuni lembah itu. Golkali akan ditebang dan ditumbangkan mengikut cara-cara mereka, untuk dijadikan jambatan melintasi satu jurang yang sangat dalam, yang menjadi sempadan di antara Meantaro dengan dunia luar. Di belakang mereka pula Gunung Grogol tinggi menyapa awan, semulajadi dianggap benteng. Dengan adanya jambatan itu perjalanan ke desa sebelah hanya akan mengambil masa dua atau tiga hari, berbanding dengan berbelas hari jalan yang ada.

Daripada cerita-cerita mereka, betapa mereka menginginkan jambatan itu. Kelak menurut mereka, lembah itu akan menjadi kawasan kunjungan dan tidak lagi terpinggir. Menurut mereka lagi, lembah itu bukan saja sesuai untuk bertani, tetapi sesuai sekali untuk dijadikan pusat pemujaan, kerana kesemua semangat daripada unsur-unsur alam ada di situ. Untuk itu mereka telah membina sebuah candi di lereng Gunung Grogol. Anehnya, di sebalik kekuatan keinginan mereka, mereka tidak mempunyai apa-apa jawapan untuk berhadapan dengan Golkali.

“Percayalah, kami telahpun berusaha. Berkali-kali kami mencuba. Segala kepandaian kami, kami gunakan. Tetapi tidak berhasil. Sebaliknya, kami semua telah menjadi mangsa Golkali. Lihat, lihat …..” Palam mengajukan telunjuknya ke kanan dan kiri. “Lihat, ada yang jadi lemah tidak bermaya, ada yang asyik muntah-muntah, ada yang jadi pucat rupanya, ada juga yang jadi hitam macam arang, dan hamba sendiri menjadi pusing, tidak tenang…”

Keadaan di sekeliling Mardukaputra mulai berubah.

« Older entries